Sejarah awal ensiklopedia Ensiklopedia

Walaupun perkataan Ensiklopedia diambil daripada bahasa Yunani, namun ensiklopedia tertua bukanlah berasal dari Yunani tetapi dari zaman kerajaan Rom dan ditulis oleh Marcus Porcius Cato yang hidup pada abad ke-3 dan ke-2 sebelum Masihi. Manakala ensiklopedia tertua yang masih wujud sekarang ialah yang ditulis oleh Pliny Senior pada abad pertama Masihi. Ensiklopedia ini yang berjudul Naturalis Historia mempunyai 37 jilid.

Manakala Maharaja China Cheng-Zu daripada Dinasti Ming telah mengawasi pengumpulan Yongle Dadian (siap pada 1408), ensiklopedia terbesar dalam sejarah, dan mempunyai lebih 11,000 jilid yang ditulis tangan. Namun kini cuma ada 400 jilid sahaja yang masih tinggal. Kemudian semasa Dinasti Qing, Maharaja Qianlong sendiri telah menulis 40,000 sajak, untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi perpustakaan berjumlah 4.7 juta halaman.

Manakala himpunan awal ilmu orang Islam di Zaman Pertengahan merangkumi pelbagai bidang, termasuklah apa yang kini dipanggil kaedah saintifik, kaedah sejarah dan petikan (citation atau isnad). Antara yang ketara ialah ensiklopedia sains ar-Razi, 270 buku-buku al-Kindi dan ensiklopedia perubatan Ibn Sina, yang merupakan rujukan utama buat beberapa abad. Terdapat juga karya sosiologi daripada Ibn Jarir at-Tabari, al-Masudi, Ibn Rustah, Ibn al-Athir, pengikut Ashari, dan Ibn Khaldun. Karya Ibn Khaldun, Muqaddimah mengandungi peringatan mengenai perjanjian bertulis yang masih relevan hingga ke hari ini. Mereka mempunyai pengaruh yang besar, disebabkan oleh penggunaan rangkaian petikan (isnad), yang memastikan kebenaran dan kejituan sumber mereka.

Walau bagaimanapun, boleh dikatakan karya-karya di atas ditulis lebih untuk pakar dalam setiap bidang dan bukannya untuk orang umum.